PETRA JAYA: “Kejadian itu terlalu cepat. Saya hanya sempat menyelamatkan diri ketika asap tebal menyelubungi ruang tamu rumah kami,” kata Rosiah Sebli, 56.

Rosiah antara 13 penghuni tiga rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Bintawa Hilir, di sini, malam tadi.

Ketika kejadian kira-kira jam 8.45 malam itu katanya, beliau sedang menonton televisyen di ruang tamu.

“Saya terkejut melihat asap tebal yang entah datang dari mana, tiba-tiba memenuhi ruang tamu.

“Pada masa sama, saya mendengar jeritan jiran dan tanpa berlengah saya terus lari keluar,” katanya.

Rosiah berkata, dalam keadaan kelam kabut itu, beliau tidak sempat mencapai barangan penting termasuk dokumen peribadi, kerana yang penting nyawa perlu diselamatkan.

Kini, beliau bersama suami, Mohd Ali Narawi, 57, serta anak lelaki mereka yang berusia 26 tahun, tinggal sehelai sepinggang apabila semua barangan mereka musnah dalam kejadian itu.

“Kami kini menumpang di rumah ahli keluarga dan setakat ini kami tidak memikirkan soal raya kerana semua persiapan termasuk baju raya kami tiga beranak semuanya sudah musnah.

“Malah semua kitab suci al-Quran milik suami yang juga seorang guru mengaji, turut musnah,” katanya.

Selain Rosiah sekeluarga, rumah yang didiami sepasang suami isteri serta sebuah rumah yang disewa lapan orang sekeluarga di belakang rumah mereka turut musnah dalam kejadian itu.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9 malam.

Beliau berkata, 40 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya diketuai Muhammad Mirza Dzalmira Miraj dikejarkan ke tempat kejadian.

“Ketika anggota bomba tiba, api marak memusnah kesemua rumah itu dan kini siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenalpasti punca kejadian,” katanya – berita harian