KLUANG: Tidak berpuas hati dengan tindakan penutupan restoran milik warga asing di sekitar bandar ini dipercayai menjadi punca pagar rumah pegawai penguat kuasa Majlis Perbandaran Kluang (MPK) disimbah cat merah semalam.

Kejadian itu disedari jam 5.45 pagi ketika mangsa keluar rumah untuk menunaikan solat Subuh.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Muhamad Laham berkata, ketika itu mangsa mendapati kedua-dua tiang pagar rumahnya penuh dengan cat merah.

Katanya, sebagai langkah keselamatan mangsa yang berusia 43 tahun membuat laporan polis jam 8 pagi semalam.

“Siasatan mendapati mangsa adalah ketua penguat kuasa MPK yang mengetuai beberapa operasi penguatkuasaan terhadap premis warga asing dan perjudian online di sekitar bandar ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (KK),” katanya hari ini.

Muhamad berkata, orang ramai yang melihat kejadian itu di Jalan Pimping, Kampung Dato Abdul Rahman Yassin diminta menyalurkan maklumat kepada balai polis berdekatan – berita harian