SUNGAI SIPUT (U) – Seorang peniaga kuih tinggal sehelai sepinggang apabila rumahnya musnah dalam satu kebakaran pada kira-kira jam 10 pagi Rabu.

Kwan Yook Lin, 61, yang keluar seawal jam 6 pagi untuk berniaga kuih di pasar besar Sungai Siput (U), bergegas pulang apabila dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa kediamannya sekeluarga.

“Mujur anak-anak saya tidak tinggal di sini kerana berkerja jauh di negeri lain dan ketika kejadian, suami saya juga tiada kerana keluar bekerja,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di No 9 Kampung Belakang Shing Chung, di sini.

Rumah papan yang dihuni sejak berpuluh tahun lalu musnah sama sekali.

Yook Lin yang bergantung harapan sepenuhnya jualan kuihnya,mengenang nasib dirinya yang hilang tempat berteduh selain punca pendapatannya.

Sementara itu, Pasukan Bomba dan Penyelamat tiba kira-kira 30 minit selepas menerima laporan daripada orang ramai mengenai kejadian.

Tiada sebarang kecederaan dilaporkan.