Kluang: Sebuah kedai satu tingkat yang juga Rumah Persatuan Bekas Pasukan Keselamatan Malaysia di Jalan Majid di Taman Maju Jaya dekat sini, musnah dalam kebakaran kira-kira jam 1 pagi semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kluang Penolong Kanan Penguasa Bomba Akob Sedek berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 1.10 pagi mengenai kejadian berkenaan.

Menurutnya, pihaknya menghantar sepasukan 16 anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohd Kamal Shaari.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian kira-kira lima minit kemudian dan mendapati sebuah kedai yang dijadikan sebagai rumah persatuan terbakar di bahagian dalam bangunan sebelum kerja-kerja memadamkan kebakaran segera dilakukan.

“Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya jam 2.26 pagi dengan 90 peratus daripada kedai tersebut musnah dalam kebakaran.

“Siasatan lanjut mengenal pasti punca sebenar kejadian akan dijalankan dan pemeriksaan awal mendapati tiada penghuni ketika kejadian,” katanya – hmetro