PUTRAJAYA: Kediaman peserta Pencetus Ummah (PU), Mohd Fakhrurrazi Mohd Hanapi atau lebih dikenali PU Razi di Pangsapuri Putra Harmoni, di sini, terbakar, awal pagi, hari ini.

Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu kerana penghuni tiada di rumah.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Putrajaya, Md Hilman Abd Rashid, berkata sebuah jentera dikerah ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.

Katanya, laporan awal mendapati kebakaran membabitkan sebahagian kawasan di ruang tamu.

“Kami difahamkan, dua penghuni mendiami rumah berkenaan namun ketika kejadian, seorang berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) manakala seorang lagi berada di surau berdekatan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, pihaknya masih menyiasat punca sebenar kebakaran dan kerugian dialami.

Md Hilman berkata, pihaknya mengesyaki kebakaran bermula di sofa di ruang tamu.

“Mungkin disebabkan asap rokok atau ubat nyamuk. Bagaimanapun, kami akan menyiasat punca kebakaran,” katanya – berita harian

 

1/3