PASIR SALAK: Segala bentuk gerak kerja dan penambahbaikan Rumah Replika Dato’ Maharajalela di Pasir Salak akan dilaksanakan dari masa ke semasa mengikut perancangan.

Ia berikutan keadaan rumah replika tersebut yang tidak diuruskan dengan baik selain masalah pencerobohan daripada individu tidak bertanggungjawab.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, terdapat beberapa isu dari segi hak milik dan pengurusan rumah replika itu.

Beliau menjelaskan, terdapat sedikit perselisihan faham mengenai hak milik dan agensi mana yang dipertanggungjawabkan menjaga khazanah warisan iti.

“Namun begitu kita cari cara terbaik dan paling pantas untuk menangani masalah ini dan setakat ini saya serahkan mandat kepada Kompleks Sejarah Pasir Salak bagi memastikan keadaan di sini terurus dari masa ke semasa.

“Kita juga akan buat penambahbaikan dan minta pihak muzium untuk kelolakan penyelanggaraan,” katanya di Program CSR Kompleka Sejarah Pasir Salak sempena Program Permukiman Menteri Besar di daerah Perak Tengah pada Rabu.

Hadir sama Pengarah Lembaga Muzium Negeri Perak, Nor Janati Ibrahim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Gajah, Abdullah Fauzi Ahmad Razali.

Pada program itu, hampir 300 orang sukarelawan dari pelbagai agensi serta pelajar universiti menyertai gotong royong di dua buah lokasi berhampiran.

Antara lokasi yang menjadi tumpuan ialah Rumah Replika Dato’ Maharajalela dan Kubur Seputum.

Salah seorang sukarelawan, S.Regina,19, dari Quest International University Perak turut teruja dengan gerak kerja di sepanjang program itu.

“Kali pertama saya jejakkan kaki ke sini dan secara jujur saya rasa kita perlu cantikkan lagi kawasan ini terutama di rumah replika, suasananya agak suram dan dipenuhi lalang.

“Mungkin selepas ini bila keadaan sudah ceria, pelancong dan orang ramai pun akan bertambah,” katanya.

a0a47324-634b-4336-9851-e3979bd6084c

f61bd628-2530-4593-825d-0a3a13de760b

718deaa1-9b54-40a3-a637-7409fea1b960

adf7bc30-525a-4f33-aa5e-3bb3fda34b6c