Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Lima pelajar lelaki Politeknik Ungku Omar (PUO) hanya mampu bersyukur kerana terselamat walaupun tinggal sehelai sepinggang selepas rumah sewa dua tingkat mereka hangus dijilat api dalam satu kebakaran di Taman Cempaka di sini, pada petang Khamis.

Insiden yang berlaku di Persiaran Cempaka Sari 8 sekitar 3.50 petang itu, turut memusnahkan dua buah rumah lain yang terletak bersebelahan kediaman mereka.

Salah seorang mangsa, S. Kugannan,22 ketika ditemui pemberita berkata sewaktu kejadian dia dan tiga rakan serumah berada di tingkat bawah sebelum terhidu bau asap dari tingkat atas.

Kugannan yang merupakan pelajar semester akhir Diploma Kejuruteraan Elektrik berkata dia segera ke tingkat atas untuk memeriksa bau dan terkejut melihat salah sebuah bilik hampir terbakar sepenuhnya.

“Saya terus berlari ke bawah dan beritahu keadaan tersebut kepada rakan serumah lain Kami semua panik, tanpa berfikir panjang terus capai kunci kereta, kunci motor dan komputer riba sebelum lari keluar selamatkan diri.

“Selain baju dan barang lain, tugasan akhir pengajian yang sepatutnya diserahkan kepada pensyarah turut hangus terbakar,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian pada petang Khamis.

Dalam pada itu itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Mohd. Subri Hussin berkata, tujuh jentera bersama 25 anggota dihantar ke tempat kejadian setelah menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.53 petang Khamis.

Beliau berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengawal kebakaran tersebut.

“Kejadian ini tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa. Bagaimanapun, rumah yang didiami pelajar PUO itu musnah 90 peratus manakala sebuah rumah berselahannya pula terbakar keseluruhannya,” katanya kepada pemberita