KINABATANGAN: Seorang wanita yang sedang berbaris untuk mengundi hanya mampu bersabar apabila dimaklumkan rumahnya di Kampung Kembara Jaya, dekat Batu 6 di sini, hangus akibat kebakaran, hari ini.

Kamsiah Karim, 48, sempat mengundi di sebuah pusat mengundi di Parlimen Libaran sebelum bergegas pulang ke rumahnya di Kinabatangan.

Kejadian dilaporkan berlaku pada jam 12.50 tengah hari tadi mengakibatkan keseluruhan rumah yang didiami sejak 10 tahun lalu itu hangus, kecuali bahagian tandas.

Kamsiah berkata, dia sedang berbaris di pusat mengundi sebelum mendapat panggilan telefon daripada jiran yang memaklumkan rumahnya terbakar.

“Demi tanggungjawab kepada negara, saya tidak keluar barisan sampailah akhirnya memangkah di kertas undi. Selepas selesai mengundi barulah saya bergegas pulang ke Kinabatangan.

“Bagaimanapun, sebaik sampai di rumah, semuanya sudah hangus. Tinggal bahagian tandas saja tidak terbakar,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Kamsiah berkata, ketika kejadian tiada sesiapa di rumah terbabit kerana ahli keluarga semua tinggal di sebuah lagi rumah mereka di Kampung Sungai Kayu, Sandakan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Nur Azlan Shah Jamalludin, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.54 tengah hari sebelum beliau bersama lima anggota bergegas ke lokasi menggunakan sebuah jentera.

“Sebaik tiba, didapati sebuah rumah jenis tidak kekal terbakar sebelum musnah sepenuhnya. Tiada mangsa cedera dalam kejadian ini,” katanya.

Nur Azlan berkata, operasi memadamkan api berakhir sepenuhnya pada jam 1.50 tengah hari dan punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan – berita harian