IPOH – Kerajaan negeri mengambil keputusan untuk menjadikan Movie Animation Park Studios (MAPS) sebagai lokasi sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat negeri kerana mahu memberi peluang kepada rakyat di negeri ini menilai sendiri keadaan sebenar di taman tema itu.

Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan negeri akan bersifat terbuka serta adil dan mengharapkan rakyat memberi maklum balas mengenai setelah berpeluang melihat sendiri keadaan taman tema tersebut.

“Kita semua faham MAPS ini mempunyai pelbagai masalah dan saya nak orang ramai lihat sendiri. Bagi pihak kerajaan negeri hari ini kita mahu cuba sebaik mungkin untuk perbaiki keadaan itu dan selamatkan taman tema ini.

“Saya buka pintu seluas-luasnya kepada rakyat agar kita semua sambut raya bersama kerajaan negeri sambil mereka melihat sendiri apa yang berlaku di dalam itu dan apa masalah yang kami sedang hadapi.

“Harap rakyat akan nampak. Rakyat berhak memberi pandangan, maklum balas apa yang akan lebih mendatangkan kerseronokan kepada orang ramai agar tempat itu dapat kita selamatkan serta perhebatkan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini pada Rabu.

Sementara itu, ketika diminta pemberita untuk mengulas lokasi sambutan Aidilfitri yang diadakan di MAPS itu sesuai selain akan menelan belanja yang banyak, beliau berkata pihaknya berpendapat kos perbelanjaan mengadakan sambutan di MAPS akan menjadi lebih murah.

“Kalau saya buat di Padang Ipoh, Kediaman Menteri Besar atau di Bangunan Setiausaha Kerajaan negeri sekali pun, perbelanjaan mesti ada kerana ia melibatkan kos seperti makanan, minuman dan sebagainya.

“Tetapi apa saya dapati bila kita setuju buat rumah terbuka di MAPS, kosnya menjadi lebih rendah sedikit berbanding tempat-tempat biasa sebelum ini kerana salah satunya tidak perlu menyewa khemah kerana sebahagiannya adalah kawasan tertutup,” ujarnya.

Menjawab soalan media, Ahmad Faizal juga menegaskan taman tema itu tidak akan ditutup dalam masa terdekat dan kerajaan negeri akan berusaha menyelamatkannya.

“Saya fikir memang agak keterlaluan kalau nak kata MAPS itu akan ditutup, apa yang ada di negeri ini, apa yang kita warisi kita perlu berusaha perbaiki dan perhebatkan.

“Promosi dan tindakan-tindakan lain perlu dibuat agar ia dapat menjana keuntungan dan ekonomi baik kepada negeri,” kata Menteri Besar.