IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menjemput orang ramai menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Perak Tahun 2017 di Kediaman Rasmi Menteri Besar di Jalan Raja Hi Hilir di sini pada Hari Raya pertama mulai jam 2.30 hingga 6 petang.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dijangka berkenan mencemar duli menghadiri rumah terbuka itu.

Dr Zambry berkata, bagi kemudahan orang ramai di sekitar Ipoh, perkhidmatan teksi Uber ke Kediaman Rasmi Menteri Besar akan disediakan secara percuma untuk caj perjalanan RM10 ke bawah.

Menurut beliau, pengguna yang ingin menggunakan perkhidmatan tersebut, hanya perlu memuat turun aplikasi UBER di GooglePlay dan App Store.

“Bagi mereka yang memandu kenderaan, Pejabat Menteri Besar akan mengeluarkan arahan mengenai tempat-tempat parkir dan shuttle bas disediakan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan Exco di sini pada Rabu.

Lokasi parkir ialah di Jabatan & Kesenian Negeri Perak, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak, Bangunan UMNO Perak, Hotel WEIL, Shuttle 8, Padang Polo dan Restoran Shabu-Shabu.