BAGAN SERAI – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian bersedia menghadapi kesesakan lalu lintas disebabkan penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) anjuran Bukit Merah Laketown Resort (BMLR), Jumaat ini.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, program anjuran Emkay Land Berhad yang bakal dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka bakal dihadiri lebih 20,000 pengunjung.

Menurutnya, program itu dirancang akan dimulakan pada jam 3 petang dengan Tun Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu dijangka tiba di lokasi program pada jam 4 petang.

“Berikutan pihak penganjur turut menawarkan kemasukan percuma pengunjung ke taman tema air, polis menjangkakan kesesakan lalu lintas akan berlaku di beberapa poin utama melibatkan susur keluar Plaza Tol Taiping, persimpangan lampu isyarat di Simpang Empat Semanggol, persimpangan tiga di Pekan Semanggol dan Jalan Kampung Selamat.

“Kita akan adakan penugasan anggota di setiap point penting dan saya akan minta anggota bertugas memberi arahan kepada pengunjung.

“Jika terlampau sesak, kita ambil satu pendekatan dengan membuat lencongan dari dua hala ke satu hala, bermula dari susur masuk ke BMLR dan pengunjung keluar hanya di susur keluar jalan Kampung Selamat,” katanya pada sidang media di IPD Kerian di sini hari ini.

Omar Bakhtiar berkata, pihak penganjur turut difahamkan menyediakan sejumlah 2,500 tempat parkir kenderaan dan empat shuttle bas bagi memudahkan pengambilan pengunjung yang parkir jauh dari lokasi program.

Menurutnya, polis mengelaskan kawasan parkir kenderaan kepada empat zon melibatkan Zon A, B, C dan D.

“Kawasan parkir A melibatkan bangunan hadapan resort BMLR dikhaskan kepada petugas resort dan vendor.

“Kawasan parkir B terletak di kawasan lapang tepi Tasik Bukit Merah pula bakal menempat kesemua dif-dif kehormat, petugas media dan sebahagian pengunjung.

“Manakala kawasan parkir C dan D melibatkan kawasan parkir berhampiran Suria hingga ke kawasan lapang parkir Hentian Rehat dan Rawat Gunung Semanggol disediakan untuk orang awam,” katanya.

Omar Bakhtiar berkata, polis meminta pengunjung supaya hadir awal  dan rancang perjalanan bagi memudahkan mengelakkan berhadapan kesesakan lalu lintas.

Menurutnya, pengunjung juga perlu patuh kepada arahan anggota polis yang menjaga di setiap poin penting bagi mengelakkan sebarang masalah susulan.

“Polis juga sudah menyediakan balai polis bergerak dan meminta Plus menambah kaunter bayaran di setiap plaza tol yang dijangka berlaku kesesakan.

“Selain itu, polis juga turut membuat pemantauan keselamatan dari udara ditambah penyediaan unit cegah bagi memastikan program tersebut berjalan lancar,” katanya – sinar