SUNGAI BULOH: Sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Matang Jaya, di sini, hangus 50 peratus dalam kebakaran, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, penghuni rumah berkenaan, Kali Mathavam, 26, sempat menyelamatkan diri.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Mohd Rizal Buang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.35 malam.

“Seramai 10 pegawai dan anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati api sedang marak di tingkat atas rumah berkenaan.

 

“Kami mengambil masa kira-kira 30 minit untuk memadamkan kebakaran itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Rizal berkata, kebakaran itu menyebabkan rumah berkenaan musnah 50 peratus membabitkan tingkat atas kediaman berkenaan.

“Tiada mangsa dilaporkan dalam kebakaran ini.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya – berita harian