IPOH : Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak, Datuk Rumaizi Baharin dilantik sebagai Datuk Bandar Ipoh yang baharu, berkuatkuasa 1 April lalu.

Beliau menggantikan Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim yang memangku jawatan itu selepas dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Perak pada Disember 2019.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika mengumumkan pelantikan itu berkata, Rumaizi mempunyai pengalaman luas dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri dan merupakan Pengarah PTG termuda ketika dilantik ke jawatan itu pada 2017 ketika berusia 42 tahun.

Menurutnya, Rumaizi adalah lulusan Sarjana Muda Perakaunan di Universiti Utara Malaysia sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana dalam bidang Pentadbiran Pengurusan Tanah di Universiti Teknologi Malaysia.

“Pentadbiran kerajaan negeri Perak yakin dengan pengalaman dan kemahiran yang dimiliki oleh beliau, akan membantu melonjakkan lagi kualiti perkhidmatan dan pembangunan Majlis Bandaraya Ipoh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rumaizi, 45, dilantik sebagai Pengarah PTG Perak pada 27 Mac 2017, selepas menjawat jawatan Timbalan Pengarah sejak Januari 2016.