Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) telah melakukan rundingan bersama parti-parti pembangkang di dalam Pakatan Harapan untuk memastikan tiada pertindihan kerusi menjelang pilihan raya umum akan datang.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perancangan awal perlu dilakukan bagi memastikan konsep satu lawan satu dalam merebut kerusi di setiap kawasan menjadi asas ketika menentang Barisan Nasional (BN) kelak.

Katanya, perkara itu telah dipersetujui oleh seluruh ahli PPBM agar tidak berlaku perlawanan kerusi antara calon rakan mereka di pihak Pakatan Harapan.

“Proses rundingan telah dimulakan namun kami berhajat agar ianya disegerakan supaya pemimpin PPBM di peringkat kawasan dan negeri dapat mengetahui samada calon parti lain bertanding di situ atau tidak,”katanya kepada pemberita di Majlis Moh Buka Puasa PPBM Perak di Masjid Ghufran, Kampung Manjoi di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, buat masa ini pihaknya masih belum mengetahui jumlah kerusi yang ingin disasarkan namun kawasan tumpuan telah pun dikenalpasti.

“Antara sasaran kita adalah kerusi yang kalah sewaktu Pilihan Raya 2013 lepas yang dimenangi oleh UMNO, kami yakin sekiranya diberikan peluang, kami pasti boleh memenangi kerusi berkenaan.

“Kini, dengan tertubuhnya PPBM, kami yakin boleh menembusi kawasan majoriti Melayu kerana sebelum ini, kawasan itu memilih UMNO tetapi kami percaya, kerusi kawasan itu boleh dimenangi oleh PPBM,”ujarnya.

Menurut beliau, ada di antara kubu kuat yang pernah dimenangi oleh pihak UMNO kini dilihat semakin lemah dan pihaknya mengambil kesempatan untuk membuka cawangan PPBM di kawasan tersebut.

Muhyiddin berkata, buat masa ini kerjasama daripada semua ahli Pakatan Harapan adalah amat penting dan sebarang pertembungan bagi bertanding kerusi menjelang pilihan raya wajar dielakkan.

“Dengan kerjasama erat daripada DAP dan PKR serta Bersatu, saya yakin kita ada peluang tebus semua kerusi yang disasarkan.

“Untuk PAS, kita kena menerima hakikat sekiranya mereka ingin bertanding, biar tiga penjuru di sebuah kawasan, tetapi dengan adanya parti-parti lain bersama (PPBM) kita masih boleh memenanginya,” katanya lagi.