PETALING JAYA: Setiausaha politik kepada Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dipanggil polis dalam siasatan kes rusuhan di Ampang yang berlaku 31 Ogos.

Menurut polis, kejadian berlaku di sebuah kompleks sukan di Taman Dagang Permai dan melibatkan lebih kurang 12 ke 14 orang.

Seorang pengadu mengalami kecederaan koyak di bahagian tisu pinggang, luka di bahagian anggota badan dan sakit di bahagian kemaluan, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat dalam kenyataan malam tadi.

“Kejadian bermula apabila saspek terserempak dengan pengadu dan terus menolak muka pengadu. Seterusnya berlaku kekecohan dan pihak pengurusan kompleks meminta pengadu dan saspek beredar dari kawasan itu.

“Pengadu pergi ke tempat letak motosikal di luar komplek sukan tersebut dan seterusnya sekumpulan 10 orang datang menyerang. Pengadu diserang dengan topi keledar, pisau dan kerusi,” katanya.

Menurut polis, 3 rakan pengadu cuba menghalang kejadian itu daripada terus berlaku tetapi gagal.

Terdahulu, Farhash ketika dihubungi menafikan satu mesej tular mendakwa dia ditahan polis berhubung satu kes pergaduhan di Ampang.

Mesej itu mendakwa dia memukul seorang lelaki hingga cedera teruk kerana tidak berpuas hati selepas kalah dalam kes saman membabitkan lelaki itu.

“Palsu, bukan saya. Ini adalah tohmahan,” katanya ringkas.