IPOH: Wargakota Ipoh hari ini gempar dengan tindakan sekumpulan lebih 20 orang lelaki bertopeng yang mengamuk dan membuat kacau di hadapan Dewan Bandaran di sini.

Tindakan mereka yang turut melaung-laungkan slogan berbaur keganasan menimbulkan kerisauan di kalangan wargakota dan orang awam yang berada di sekitar kawasan tumpuan pelancong itu.

Bagaimanapun, tindakan pantas oleh 40 pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh berjaya meredakan situasi itu.

Apa yang menimbulkan tanda tanya di kalangan orang awam ialah situasi yang sama turut berlaku di beberapa buah sekolah di sekitar bandar raya ini.

Persoalan itu terjawab apabila Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Thamby ketika dihubungi Suara Perak mengesahkan bahawa ia adalah latihan dan demonstrasi yang dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, latihan itu dilancarkan serentak di seluruh Negara pada November lepas sebagai Latihan Amal Percubaan Pilihan Raya Umum ke-14 yang kini memasuki fasa keempat.

“Latihan amal itu diadakan bertujuan sebagai persiapan pasukan untuk menghadapi PRU akan datang.
Justeru, kita menasihatkan orang ramai supaya tidak panik dan gusar dengan pergerakan pihak polis.

“Fasa kelima latihan ini akan diadakan pada esok (Jumaat),” katanya kepada Suara Perak.

Latihan amal itu meliputi semua elemen jabatan PDRM serta pasukan bantuan yang akan dikerahkan pada waktu yang diperlukan.

Ia membabitkan lima fasa utama latihan iaitu fasa sebelum pembubaran Parlimen, fasa penamaan calon, fasa tempoh berkempen, fasa hari mengundi dan yang terakhir, fasa pengumuman keputusan pilihan raya.