SHAH ALAM: Polis menahan empat lagi individu bagi membantu siasatan insiden rusuhan di tapak Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya, menjadikan jumlah keseluruhan seramai 21 lelaki tempatan sudah ditahan setakat ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, dua daripada suspek terbaru itu diberkas pihaknya di sekitar kawasan kuil berkenaan awal pagi tadi.

“Kita turut merampas senjata iaitu parang yang ditemui dalam sebuah kenderaan dinaiki dua suspek berkenaan.

“Dua individu lain pula ditahan malam tadi dan semua 21 suspek berkenaan akan direman secara berperingkat bermula hari ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, pagi tadi.

Menurut beliau, sebanyak 23 kenderaan musnah dibakar setakat ini termasuk empat kereta dan sebuah van dalam insiden terbaru di kuil berkenaan.

“Kita turut menyiasat kejadian di pusat beli-belah One City yang cerminnya dipecah dan dirosakkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Selain itu, siasatan merangkumi kes seorang anggota bomba yang cedera akibat diserang individu ketika memadamkan kebakaran kereta di kuil itu selain sebuah jentera bomba turut dirosakkan,” katanya.

Kata Mazlan, kes itu disiasat mengikut pelbagai kesalahan jenayah termasuk di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh.

“Kita sedang menjalankan secara menyeluruh termasuk mempunyai petunjuk baharu mengenai dalang utama kejadian itu.

“Selain itu, kita akan memanggil pihak pemaju (One City Development Sdn Bhd) dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada laluan di kawasan kuil berkenaan ditutup, beliau berkata pihaknya akan menjalankan perbincangan terlebih dulu berikutan ia laluan utama bagi penduduk setempat.

“Kita juga akan maklumkan kelak sekiranya ada sebarang sekatan jalan raya di kawasan itu,” katanya yang turut memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak mengambil tindakan sendiri dan mengeluarkan kenyataan mencetuskan ketegangan kaum.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu terutama suspek berkaitan boleh menghubungi Hotline IPK Selangor di talian 012-6009999 bagi tindakan lanjut.

Media melaporkan dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi semalam, puluhan individu berkumpul dan merusuh di kawasan tapak kuil berkenaan sebelum tercetus pergaduhan di lokasi terbabit.

Difahamkan, perselisihan faham antara dua kumpulan mengenai isu perpindahan tapak kuil itu menjadi punca pergaduhan berkenaan – berita harian