SUBANG JAYA: Insiden rusuhan di tapak Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Putra Heights di sini, awal pagi tadi, tidak membabitkan unsur perkauman, sebaliknya hanya perselisihan faham antara dua kumpulan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor, berkata kejadian kira-kira jam 2 pagi itu adalah kes terpencil berkaitan isu pemindahan kuil terbabit.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai diminta menghentikan status atau mesej tular yang mengaitkan kejadian berkenaan dengan isu perkauman.

“Kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ke atas mana-mana individu yang cuba mencetuskan ketegangan kaum dan ketenteraman awam berhubung isu berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, di sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, puluhan individu merusuh di kawasan tapak kuil terbabit sebelum tercetus pergaduhan di lokasi berkenaan, malah sebanyak 18 kenderaan dilaporkan turut dibakar.

Mazlan berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden berkenaan.

Beliau berkata, bilik gerakan IPD Subang Jaya menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian itu pada jam 2.45 pagi.

“Hasil maklumat diterima, sebuah kereta peronda dihantar ke lokasi. Bagaimanapun, cermin belakang kereta peronda itu pecah selepas dibaling batu oleh perusuh menyebabkan anggota bertugas meminta bantuan unit lain.

“Ketua Polis Daerah Subang Jaya (Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari) tiba di lokasi kejadian kira-kira 20 minit selepas menerima panggilan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kira-kira 50 lelaki berada di dalam kawasan kuil terbabit, manakala beberapa individu lain berada di luar pagar kuil.

“Berlaku saling mencaci dan mencabar antara dua kumpulan terbabit. Dua lelaki dalam lingkungan usia 30-an cedera dalam kejadian itu. Selain itu, 18 kenderaan, termasuk dua motosikal di kawasan berkenaan dibakar,” katanya.

 

Beliau berkata, kedua-dua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut sebelum ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Kami juga menemui beberapa parang dan senjata digunakan dalam rusuhan berkenaan. Kejadian itu juga menyebabkan kerosakan di kuil terbabit.

“Pada masa sama, kami sedang menyiasat pemilik kenderaan yang dibakar dan meneliti jumlah keseluruhan kerugian dalam kejadian itu,” katanya.

Katanya, keadaan di kuil terbabit sudah kembali tenang dengan kawalan lebih 700 anggota daripada Unit Simpanan Persekutuan (FRU) bersama unit lain di lokasi berkenaan.

“Saya yakin lebih ramai lagi yang akan ditahan selepas ini bagi membantu siasatan kes ini membabitkan kesalahan pencerobohan, merusuh, khianat dengan api serta kesalahan lain.

“Saya memberi amaran kepada semua pihak supaya bertenang dan tidak mengambil tindakan sendiri yang melanggar undang-undang.

“Biar pihak polis melakukan tugas dan jangan membawa perkara ini hingga ke tahap keganasan yang boleh mengganggu ketenteraman awam,” katanya.

Pada 28 September lalu, satu notis pengosongan dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mengarahkan penghuni kuil itu mengosongkan tapak pada atau sebelum 15 Oktober lalu.

Bagaimanapun, pada 25 Oktober lalu, kira-kira 300 individu yang tidak bersetuju kuil itu dipindahkan, bertindak berkumpul di kawasan berkenaan ketika urusan pemindahan dijalankan – berita harian