KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy, meminta rakyat Malaysia bertenang sehingga siasatan penuh kes rusuhan di tapak Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Putra Heights dijalankan dan kedaulatan undang-undang dapat ditegakkan.

Berdasarkan kenyataan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri hari ini, beliau memaklumkan sudah menghubungi Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, untuk menyampaikan kegusaran masyarakat susulan rusuhan di tapak kuil berkenaan awal pagi tadi.

Kenyataan Waytha Moorthy itu dibuat selepas pihaknya menerima pelbagai video dan muat naik Facebook berhubung kejadian terbabit.

“Menteri membangkitkan keprihatinan masyarakat terhadap kekerasan yang mengancam keamanan dan kedamaian masyarakat berbilang kaum dan pelbagai agama serta aspek kebebasan beragama.

“Insiden ini mendapat perhatian Menteri apabila ada mangsa cedera dan harta hak milik kuil dibakar, yang menyebabkan ketegangan emosi di kalangan orang ramai. Ada juga dakwaan yang menjadi viral walaupun masih belum sahih.

“Justeru, Timbalan Ketua Polis Negara sudah menjanjikan siasatan menyeluruh akan dijalankan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan sebanyak 18 kenderaan dibakar dalam kejadian rusuhan di tapak Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Putra Heights, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, puluhan individu berkumpul dan merusuh di kawasan tapak kuil berkenaan sebelum tercetus pergaduhan di lokasi terbabit.

Difahamkan, perselisihan faham antara dua kumpulan mengenai isu perpindahan tapak kuil terbabit menjadi punca pergaduhan dalam kejadian awal pagi tadi itu – berita harian