IPOH: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak Datuk Saarani Mohamad mencabar Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari supaya meminta Kerajaan Persekutuan meminda perlembagaan atau mencabar keputusan Majlis Tanah Negara (MTN) sebelum membolehkan pemberian hak milik 999 tahun kepada kampung-kampung baru.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Perak itu juga berkata, sebarang forum tidak akan menyelesaikan isu berkenaan kerana ia berkait dengan Perlembagaan Persekutuan.

“MTN ditubuhkan mengikut Perkara 91 Perlembagaan Persekutuan, apa-apa keputusan yang dibuat adalah berdasarkan perlembagaan dan tidak boleh dipinda.

“Jika ianya mahu diubah, Abdul Aziz perlulah mencabar di mahkamah ataupun membawa isu ini ke Dewan Rakyat,” katanya pada Khamis ketika mengulas kenyataan Abdul Aziz yang juga exco Kerajaan Negeri Perak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tebing Tinggi.

Saarani juga menyebut Perkara 91 Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada Kerajaan Persekutuan untuk menubuhkan MTN untuk menguruskan hal ehwal tanah.

“Manakala perkara 91(5) Perlembagaan yang sama jelas menyatakan Kerajaan Persekutuan dan Negeri hendaklah mengikut dasar yang dibentuk oleh majlis itu,” katanya lagi.

Saarani juga mengingatkan Abdul Aziz tentang Pekelililing Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Bilangan 1/2018.

Di bawah perkara 3 pekeliling berkenaan, Majlis Tanah Negara yang ke-42 dan ke-53 telah memutuskan supaya tempoh pajakan bagi kampung-kampung baru dinaikkan daripada 30 tahun kepada 60 tahun; dan tempoh pajakan tidak melebihi 90 tahun.

“Abdul Aziz juga mesti melihat sejarah, dan memahami isu pemberian hak milik 999 tahun pada tahun 2008,” katanya merujuk kepada peristiwa Kerajaan 11 bulan Pakatan Rakyat.

Pada Rabu, Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari menjemput Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad untuk bersama-sama berbincang melalui forum bagi menyelesaikan polemik pemberian hak milik kekal tanah di negeri ini.

Menurut Abdul Aziz, perbincangan bersama perlu dilakukan bagi memberikan pencerahan kepada orang ramai sama ada pemberian tersebut benar-benar melanggar Perlembagaan Persekutuan atau sebaliknya.

Beliau berkata, sebarang keputusan berkaitan tanah adalah kuasa kerajaan negeri manakala Majlis Tanah Negara (MTN) hanya bertindak sebagai penasihat berkaitan isu-isu tanah.

Abdul Aziz dalam sidang media semalam dipetik sebagai berkata, banyak kenyataan daripada pemimpin UMNO dan Pas berhubung isu pemberian hak milik kekal itu mengelirukan.

Menurutnya, kenyataan diberikan memberi fokus kepada kampung baharu sedangkan di dalam manifesto menyebutkan hak milik kekal untuk Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) dan penempatan Felda.

Habis.