IPOH 26 Nov. – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad dicabar untuk mendedahkan nama pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) negeri ini yang didakwa terlibat dalam usaha menjatuhkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Ketua Penerangan PKR negeri, Siti Aishah Shaik Ismail berkata, Saarani perlu membuktikan sejauh mana kebenaran dakwaan beliau itu dengan menamakan mana-mana individu yang melakukan perbuatan tersebut.

Katanya, sekiranya beliau gagal untuk membuktikan dakwaan berkenaan, maka kepimpinan PH Perak dicadangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap isu yang cuba dimainkan oleh UMNO itu.

“Setelah hampir beberapa lama isu ini dianggap selesai oleh rakyat khususnya di Perak, ia sekali lagi timbul dan menjadi perhatian umum berikutan dakwaan cubaan untuk menggulingkan Menteri Besar sedia ada yang juga daripada PH.

“Saya mencabar Pengerusi UMNO Perak agar menyatakan secara terbuka nama pemimpin PH yang terlibat dalam isu ini agar beliau boleh membuktikan sejauh mana kebenaran dakwaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurut Siti Aishah, kerajaan yang terbina kini adalah dengan kepercayaan rakyat dan mereka tidak mahu dihidangkan dengan berita-berita politik yang menjelikkan mainan pemimpin politik semata-mata.

Ujar beliau, tindakan yang diambil sekiranya dakwaan tersebut tidak benar adalah bagi membuktikan kepada rakyat bahawa isu itu dimainkan UMNO bagi mengalih perhatian rakyat tentang pentadbiran kerajaan PH Perak yang komited dan berjalan baik di bawah kepimpinan Ahmad Faizal.

“Kepada kepimpinan PH yang menerajui kepimpinan negeri, suka saya mengingatkan bahawa ini adalah masa untuk kita melakukan sehabis baik untuk khidmat kita kepada rakyat dan bukan berfahaman sebaliknya.

“Ini adalah kerajaan yang didirikan atas semangat pasukan dan biar ia kekal berterusan,” katanya. – UTUSAN ONLINE