IPOH: Pemuda Pakatan Harapan (PH) Perak mendesak Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Saarani Mohamad supaya menamakan Exco kerajaan negeri yang didakwa cuba menjatuhkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Bagaimanapun, Ketua Pemuda PH Perak, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim yakin, dakwaan itu tidak benar, sebaliknya ia cuba dipolimikkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan rakyat.

Menurut beliau, kerajaan negeri Perak hari ini tetap stabil, kukuh dan mendapat sokongan daripada rakyat, termasuk penjawat awam.

“Saya ingin tegaskan sekali lagi, jika benar ada dakwaan itu, tolong nyatakan siapakan Exco berkenaan dan kita akan melihat keberanian UMNO / BN,” katanya dalam sidang media di Pejabat Bersatu Perak di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Armada Bersatu Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh, Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Perak, Steven Chaw dan Pengarah Strategik AMK Perak, Zaim Sidqi Zulkifly.

Hasnul berkata, Pemuda PH yang mempunyai dua Exco kerajaan negeri, iaitu beliau sendiri dan Howard Lee Chuan How, tiada sebarang usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan bermula esok.

Sehubungan itu, beliau meminta UMNO /BN agar menghentikan segala polimik yang menurutnya juga bertujuan untuk mengembalikan semula kepercayaan ahli-ahli UMNO yang semakin goyah.

“Setelah mereka bercumbu-cumbuan dan berbaik-baik dengan Pas, mereka mencuba pula isu ini, mungkin hendak melihat sokongan orang Melayu kepada pakatan UMNO dan Pas ini,” ujarnya.

Hasnul yang juga Ketua Pemuda Amanah Perak berkara, isu itu telah dimainkan sejak awal penubuhan kerajaan negeri PH, lebih-lebih lagi setiap kali menjelang sidang DUN.

Sementara itu, Steven Chaw yang juga ADUN Menglembu berkata, beliau telah bertanyakan isu berkenaan kepada semua lima Exco kerajaan negeri daripada DAP dan semuanya menyatakan sokongan terhadap Ahmad Faizal.

Dalam pada itu, Howard Lee berkata, di zaman Malaysia baru sekarang, kerajaan sentiasa meraikan perbezaan pendapatan tetapi apabila keputusan telah dibuat, semua pihak sepakat melaksanakannya.