IPOH: Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Saarani Mohamad bersedia mengembalikan semula kemudahan yang akan dinikmatinya selaku Ketua Pembangkang sekiranya ia terus diungkit wakil rakyat Pakatan Harapan (PH).

Saarani berkata, beliau menerima pemberian yang telah diberikan kepadanya, namun berharap perkara itu tidak terus diperkatakan wakil rakyat PH.

“Mereka kata itu antara pembaharuan yang di buat di mana saya diberikan elaun tambahan sebanyak RM3,000, sebuah bilik, dua orang pegawai, sebuah kereta dan seorang pemandu.

“Tapi selepas saya berucap, YB Nga Kor Ming (Aulong) masuk dan mengungkit. Dia ingat bila dia bagi semua itu, pembangkang tidak boleh cakap keras, silaplah.

“Kalau awak ikhlas kerana kata mahu tambahbaik, buat pengiktirafan serta pembaharuan, biarkanlah tetapi kenapa selepas saya ‘balun’ awak ungkit. Ambik baliklah,” katanya dalam sidang media hari ini.

Saarani menegaskan, beliau tidak mahu pengiktirafan yang diberikan itu menjadi halangan untuknya terus bersuara dan memberi teguran terhadap kerajaan negeri.

“Bukan satu masalah besar (jika ambil balik) kerana selama ini pun saya berbahas macam ini jugak.

“Cuma saya mahu beritahu pada mereka, kalau sudah bagi profesionallah. Ini bila saya balun kerajaan, saya diungkit macam-macam,” ujarnya.