IPOH: Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Perak, Sabri Ahmad Tah yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tidak ada kaitan dengan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu (DPPM) Perak.

Yang Dipertua DPPM Perak, Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdullah berkata, DPMM Perak dan DPPM Perak adalah dua entiti yang berbeza.

Menurut beliau, sejak berita mengenai SPRM memburu Yang Dipertua DPMM Perak pada 4 Julai lalu bagi menyelesaikan pendakwaan satu kes rasuah di mahkamah, pihaknya turut menerima banyak panggilan telefon untuk mendapatkan kepastian.

“Ramai yang menyangkakan DPMM Perak dan DPPM Perak adalah entiti yang sama, itu sebab kami membuat penjelasan ini dan diharapkan tiada lagi kekeliruan selepas ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Selasa.

Dalam kenyataan media pada 4 Julai lalu, pihak SPRM memberitahu, Sabri terbabit dengan kes melibatkan projek-projek memajukan tanah di sebuah lokasi di Perak serta pembekalan bahan binaan yang berlaku pada tahun 2014.

Bagaimanapun, dia yang juga Pengarah Syarikat Semarak Sinergi Sdn. Bhd. diberkas SPRM di Putrajaya semalam (Isnin) dan direman selama dua hari mulai Selasa.