KUALA LUMPUR – Usahawan kosmetik kontroversi, Safiey Ilyas, 25, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mencederakan seorang wanita ‘instafamous’ yang dikenali sebagai Baby Arra Januari lalu.

Safiey atau nama sebenarnya Mohd. Safiuddin Ilias, 25, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya selesai dibacakan di hadapan Majistret Tawfiq Affandy Chin.

Mengikut pertuduhan, jutawan kosmetik tersebut didakwa telah menyebabkan cedera parah ke atas Farahnazikha Karab Hussain, 25,  di sebuah restoran di Jalan Liew Weng Chee AU2 sini pada pukul 1.30 pagi, 15 Januari lalu.

Pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, B. Rajdeep Singh dibuat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.