Tapah: Lelaki maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan dua kenderaan di Kilometer 318 lebuh raya PLUS, arah selatan, dekat sini, awal pagi ini.

Allahyarham Mohd Zulfaries Mohd Danial, 23, maut di lokasi kejadian dan kemalangan dikatakan berlaku kira-kira 10 kilometer dekat susur keluar Tapah, pada 3.30 pagi.

Difahamkan, kemalangan itu membabitkan Saga BLM dan Naza Ria.

Siasatan awal kemalangan dipercayai berlaku selepas kedua-dua kenderaan itu bergesel menyebabkan Saga BLM terbalik manakala Naza Ria pula terbabas ke tepi lebuh raya.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah, Zulkafli Hamad, berkata pihaknya menerima panggilan pada 3.46 pagi.

Katanya, anggota yang tiba mendapati mangsa yang maut itu tersepit sebelum menjalankan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan

peralatan khas dan menyerahkannya kepada polis.

“Mangsa yang maut tidak dapat dipastikan sama ada pemandu atau penumpang Saga BLM. Ini berikutan kereta itu terbalik manakala seorang lagi dalam kereta itu cedera.

“Pemandu dan penumpang MPV yang terbabas cedera. Mereka yang cedera dibawa ke HRPB (Hospital Raja Permaisuri Bainun) di Ipoh untuk menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi.