UJIAN saringan air kencing dan darah ke atas dua lelaki warga Nepal yang mengalami gejala letih serta lemah selepas minum kopi pracampuran perisa durian didapati positif mengandungi dadah.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, ujian yang dilakukan Jabatan Kimia itu diperolehi pihak polis, petang semalam.

“Berdasarkan ujian (air kencing) yang dijalankan kita dapati memang sah terdapat dadah yang jenisnya memang ada di pasaran, namun jarang dikesan diambil penagih dadah.

“Setakat ini, siasatan awal mendapati dadah terbabit memang memberi kesan seperti dialami mereka yang minum kopi berkenaan, namun kita juga masih menunggu laporan kimia mangsa lain,” katanya ketika dihubungi.

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk A Thaiveegan berkata, pihaknya meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti identiti wanita disyaki mengedarkan kopi pracampuran mengandungi dadah secara percuma sekitar Jelutong, Selasa lalu.

 BERITA TERDAHULU: sample ‘kopi durian’ ke jabatan kimia 

Katanya, wanita berusia 40-an terbabit dikesan bagi mengetahui bagaimana dia mendapat bekalan kopi itu.

“Siasatan masih dijalankan bagi mendapatkan pengesahan sama ada kopi campuran itu benar-benar dibuang di dalam tong sampah atau sebaliknya.

“Kerjasama dan bantuan orang ramai perlu dalam menyalurkan sebarang maklumat bagi membantu siasatan lanjut,” katanya selepas merasmikan majlis pelancaran Program Remaja Berwawasan 2018 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Bahang, di sini, hari ini.

Sejak 27 Januari lalu, seramai tujuh mangsa dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) di Georgetown selepas minum kopi pracampuran berkenaan yang menyebabkan mereka menjadi letih dan lemah.

Siasatan polis mendapati kopi yang diberikan secara percuma itu mempunyai kesan koyak di bawah, sebelum dipaketkan semula dengan dicampur bahan asing.

Susulan itu, polis mengesan wanita yang mengedar dan memberikan kopi campuran terbabit secara percuma kepada orang ramai.

Pihak polis turut mengesyaki terdapat unsur sabotaj apabila menemui kesan gangguan pada paket kopi itu termasuk keadaan kopi yang mengeras kerana teroksida, pertambahan berat dan kesan digam semula.-msn