SUNGAI SIPUT: Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) diminta mengekalkan rekod cemerlang pembayaran balik pinjaman masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, dalam masa sama, mereka juga mestilah sentiasa berusaha untuk meningkat lagi kualiti produk, sengan kehendak pelanggan.

Menurut beliau, walaupun perniagaan mereka dalam kategori kecil tetapi sebenarnya Sahabat AIM memberi sumbangan yang besar dalam ekonomi negara.

“Saya difahamkan terdapat lebih 32,000 Sahabat AIM di seluruh negeri, sudah tentu mereka juga memberi impak yang besar dalam ekonomi negeri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Usahawan & Pelancaran Kelab Usahanita Berjaya Parlimen Sungai Siput di sini pada Sabtu.

sahabat-AIM 4

Beliau mewakili Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan di dalam perhimpunan yang dihadiri lebih 1,000 Sahabat AIM Sungai Siput.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Lintang, Datuk Mohd Dzolkafky Harun, Penyelaras BN DUN Jalong, Datuk Tan Lian Ho, Pengurus Wilayah Perak Utara AIM, Hashim Rajimun dan Pengerusi Kelab Usahanita Sungai Siput, Jaslina Aziz.

Drs Nizar berkata, Sahabat AIM tidak harus berpuas hati dengan percapaian yang diperolehi, sebaliknya mesti berusaha untuk terus meningkat perniagaan mereka untuk menarik lebih ramai pelanggan.

Beliau memberi contoh, selain pelabelan dan pembungkusan, mereka juga boleh berusaha untuk mendapatkan sijil-sijil pengiktirafan seperti Halal, Mesti dan GMP, untuk pergi ke pasaran yang lebih besar.

Terdahulu, Dzolkafly berkata, berdasarkan maklumat yang dimaklumkan, Sahabat AIM Sungai Siput mencatatkan 100 peratus dari segi pembayaran balik pinjaman.

Beliau turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM10,000 untuk Kelab Usahawanita Berjasa Parlimen Sungai Siput dan akan berusaha untuk mendapatkan lagi sumbangan daripada Abdul Rahman Dahlan.