KAMPAR: Peningkatan penyertaan bagi sukan berbasikal di Malaysia merupakan satu petanda yang baik untuk menjadikannya sebagai sebuah tarikan untuk melonjakkan industri pelancongan Negara di mata dunia.

Setiausaha Politik Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Jamal Nasir Rasdi berkata, pada masa kini, sukan berbasikal semakin mendapat tempat dan perhatian dalam kalangan peminatnya hinggakan boleh dianjurkan dalam beberapa siri.

“Dalam industri pelancongan kita punya banyak kategori dan pelancongan berteraskan sukan mampu menjadi salah satu sector utama yang bakal memberikan impak besar dalam kedudukan jumlah pelancong di negara kita.

“Sepertimana F1 (Formula Satu) dan golf yang dianjurkan hingga ke peringkat antarabangsa, kejohanan sukan berbasikal juga boleh pergi sejauh itu, banyak pertandingan dibuat mendapat sambutan penyertaan yang baik,” katanya kepada pemberita dalam sidang media sempena penganjuran Kejohanan Sahom Valley Perak Mountain Bike Challenge 2018,baru-baru ini.

Kejohanan yang masuk tahun kedua itu bakal berlangsung pada 28 Januari depan, anjuran bersama Perak Mountain Bike Cycling dengan Sahom Valley Resort.

Malah, pelumba basikal kebangsaan, Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi juga telah dilantik menjadi duta bagi kejohanan kali ini.

Jamal Nasir berkata, penganjuran ini boleh dijadikan usaha awal merancakkan promosi Tahun Melawat Malaysia pada 2020 nanti yang mana Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada banyak acara antarabangsa.

“Walaupun Tahun Melawat Perak sudah sampai ke penghujungnya, namun promosi tempat-tempat menarik melalui acara sebegini perlu diteruskan dan saya kira pemilihan lokasi kali ini adalah sangat tepat dan bakal mencabar peserta,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kejohanan Sahom Valley Perak Mountain Bike Challenge 2018, Datuk Mohammad Shaharul Hashri Mahmood berkata, dengan hanya mengenakan yuran sebanyak RM60, peserta akan melalui pengalaman berkayuh di laluan trek berbukit dalam ladang kelapa sawit, melintasi anak sungai dan mengelilingi kawasan Gunung Tempurung sejauh 35 kilometer.

Katanya, ia selaras dengan usaha penganjur untuk memperkenalkan lokasi menarik sepanjang laluan trek itu kepada peserta antaranya terdapat lokasi ternakan kelulut, ladang sayur, pemandangan lebuh raya dan keindahan flora serta fauna.

“Pertandingan akan dibahagi kepada lapan kategori termasuk wanita, lelaki dan veteran bermula peringkat usia 18 hingga 51 tahun ke atas. Kita menyasarkan penyertaan antara 1,200 hingga 1,500 orang dari dalam dan luar negara.

“Selain hadiah-hadiah utama, penganjur juga menyediakan cabutan bertuah antaranya motosikal, basikal, televisyen, baucar penginapan dan barangan elektrik berjumlah keseluruhan lebih RM50,000,” katanya.

Pendaftaran boleh dilakukan secara atas talian melalui https://sahomvalleyperakmtbc.blogspot.my atau menghubungi urus setia di talian 013-5154850 sebelum tarikh tutup penyertaan pada 20 Januari ini.