PONTIAN : Pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai menyaksikan pertarungan enam penjuru bagi merebut kerusi Parlimen itu selepas calon dari Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gerakan, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan dua bebas mengesahkan pencalonan mereka.

Mereka yang bertanding dalam pertembungan enam penjuru itu ialah Wee Jeck Seng, Karmainie Sardini, Wendy Subramaniam, Badhrulhisham Abdul Aziz, Ang Uan Lock dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar.

Nama mereka diumumkan Pegawai Pengurus SPR Zulkifly Mohd Tahir pada penutupan pencalonan pada jam 10 pagi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian yang menjadi pusat penamaan calon.

Zulkifly berkata borang Karmainie diterima pada jam 9.03 pagi, Wee (9.06 pagi), Badhrulhisham (9.09 pagi), Ang (9.12 pagi), Wendy (9.14 pagi) dan Faridah (9.18 pagi).

Sebelum itu, calon tiba jam 8.30 pagi bersama kepimpinan tertinggi parti masing-masing.

Kempen akan berlangsung selama 14 hari bermula selepas penamaan calon dan berlangsung sehingga 11.59 malam pada 15 November 2019.

Hari mengundi awal ditetapkan pada 12 November sementara hari mengundi ditetapkan pada 16 November.

Kerusi Parlimen Tanjung Piai mempunyai dua kawasan DUN iaitu Pekan Nenas dan Kukup.

Seramai 1,019 petugas dilantik bagi mengendalikan proses PRK ini manakala sebanyak 28 pusat mengundi dengan 127 saluran akan digunakan.

Daftar pemilih mengandungi 52,986 orang pengundi yang terdiri daripada 52,698 orang pengundi biasa, 280 pengundi awal dan lapan pengundi tidak hadir luar negara.

Seramai 57% pengundi di Tanjung Piai adalah Melayu, diikuti Cina (42%), dan India (1%).

Kerusi Tanjung Piai kosong berikutan kematian Farid pada 21 Sept lalu.