CHELTENHAM, United Kingdom: Saintis muda Malaysia, Dr Siti Kayriyyah Mohd Hanafiah, 33, mengharumkan nama Malaysia apabila dinobatkan sebagai juara dunia pada pertandingan FameLab International 2018 di sini, baru-baru ini.

Beliau berjaya menawan hati panel juri dan memukau beratus-ratus penonton di The Arena, Cheltenham melalui pembentangan beliau berkenaan penggunaan pasangan antibodi-antigen untuk diagnosis penyakit tibi.

Beliau perlu bersaing dengan 11 finalis yang datang dari pelbagai negara seperti Australia, Itali, Ireland, Qatar, Korea dan Portugal sebelum muncul sebagai juara akhir.

Keinginan untuk berkongsi perasaan teruja mengenai keindahan fenomena biologi mendorong Dr Siti Kayriyyah untuk menyertai pertandingan FameLab International ini.

Pertandingan berprestij ini berlangsung pada 7 Jun lalu sempena Pesta Sains Cheltenham. Dr Siti Kayriyyah adalah seorang pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Universiti Sains Malaysia.

Terdahulu, Dr Siti Kayriyyah sudah memenangi saingan FameLab di peringkat kebangsaan setelah menewaskan sembilan saintis muda tempatan, lantas melayakkan beliau untuk mewakili Malaysia di saingan peringkat akhir itu.

FameLab International adalah pertandingan menguji kemahiran lisan saintis muda dalam menyampaikan teori dan konsep sains dalam bentuk kreatif dan penyampaian yang mudah untuk difahami oleh khalayak ramai dalam tempoh tiga minit sahaja.

Kemahiran penyampaian secara lisan ini adalah antara cabang dalam komunikasi sains yang bertujuan menarik minat umum dengan topik sains dan teknologi yang sering dianggap sebagai sesuatu yang rumit dan tidak menyeronokkan dalam kalangan orang awam.

Kemenangan Dr. Siti Kayriyyah menyaksikan Malaysia sudah menjuarai Famelab International sebanyak dua kali dalam tempoh tiga tahun berturut-turut.

Sebelum ini, Prof Dr Abhimanyu Veerakumarasivam dari Sunway University, selaku Pengerusi Young Scientists Network – Academy of Sciences Malaysia (YSN-ASM) telah dinobatkan sebagai juara pada tahun 2016 melalui pembentangan beliau yang bertajuk ‘Genetik Kanser’.

FameLab Malaysia 2018, adalah pertandingan pencarian bakat dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dianjurkan bersama oleh Kumpulan Industri Perindustrian Malaysia untuk Teknologi Tinggi (MIGHT) dan British Council Malaysia.

FameLab dimulakan pada tahun 2005 di United Kingdom oleh Cheltenham Science Festival. Ia dibawa ke Malaysia pada 2015 pada platform MIGHT Academy dan British Council dengan matlamat untuk menutup jurang antara saintis dan orang awam – berita harian