IPOH :  Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak berjaya menahan 40 warga China dipercayai saki-baki mereka yang melarikan diri semasa operasi di Cyberjaya bulan lepas.

Pengarah JIM Perak Kamalludin Ismail berkata warga China berkenaan terdiri daripada 38 lelaki serta dua wanita berumur antara 18 hingga 54 tahun ditahan dalam serbuan ke atas sebuah banglo di Jalan Tun Dr Ismail di sini semalam.

Katanya siasatan di premis berkenaan mendapati banglo itu dijadikan lokasi bagi aktiviti dalam talian serta menjadi pusat sehenti warga China itu berdasarkan bekalan makanan yang ditemukan.

“Disyaki mereka telah berada di banglo berkenaan selama dua minggu dan menjalankan aktiviti dalam talian, bekalan makanan banyak dan tiada pergerakan keluar masuk selama empat hari risikan dijalankan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Menurut Kamaluddin, pihaknya merampas 80 telefon bimbit, 31 komputer, tujuh ‘router’ berteknologi tinggi, 76 keping pelbagai jenis kad bank, 27 keping kad kredit negara China dan 31 kad pengenalan China.

Kamalludin berkata hasil siasatan lanjut pihaknya percaya aktiviti tidak bermoral turut dijalankan di banglo berkenaan dengan seorang daripada wanita yang ditahan disyaki dijadikan tempat pemuas nafsu.

Katanya, setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tiada dokumen perjalanan sah dan Seksyen 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial atau pas kerja.

Operasi yang dijalankan selama dua jam bermula 4.30 petang itu dianggotai oleh 26 pegawai JIM Perak.

Pada 20 Nov lepas, JIM menggempur sebuah bangunan enam tingkat di Cyberjaya dan menahan 680 warga China manakala lebih 100 warga China melarikan diri ketika operasi itu. – BERNAMA