IPOH – Seorang lelaki ditemukan maut di dalam kereta di Jalan Lahat, di sini, pada Ahad dipercayai akibat sakit dada. Dalam kejadian sekitar 10.30 pagi, mangsa yang beralamat di Taman Gunung View, Ipoh, ditemui mati dalam kenderaan Toyota Camry di Little India, Jalan Lahat, di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asistem Komisioner Mohd Ali Tamby mengesahkan perkara berkenaan dan berkata tiada sebarang unsur jenayah dikesan dalam insiden itu.

Mohd Ali berkata siasatan awal mendapati mangsa yang sedang memandu di lokasi tersebut berasa sakit tiba-tiba dan telah memberhentikan kereta di tepi jalan dan berbaring di dalam kereta dengan enjin kenderaan dihidupkan sehingga mangsa dijumpai maut setelah kereta kehabisan minyak.

“Hasil siasatan dengan saksi yang mengenali mangsa mendapati mangsa
baru menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara baru-baru
ini.

“Berdasarkan maklumat orang ramai, mangsa ditemui terbaring di tempat duduk pemandu dalam sebuah kereta jenis Toyota Camry pada pagi ini berhampiran pondok polis Jalan Lahat yang kemudiannya bertindak
menghubungi polis bagi menjalankan siasatan.

“Hasil pemeriksaan mendapati kereta tersebut berkunci dari dalam dan disyaki telah meninggal dunia dalam kereta,”katanya ketika dihubungi Suara Perak.

Jelasnya, pihaknya telah meminta bantuan dari Jabatan bomba dan Penyelamat untuk memecahkan cermin tingkap untuk mendapatkan mangsa.

“Lebih kurang 10.40 pagi, pihak ambulans dan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Senam tiba dan telah berjaya membuka pintu kereta dengan cara memcahkan cermin kereta sebelah kiri di bahagian
hadapan.

“Pihak pasukan perubatan telah membuat pemeriksaan ke atas mangsa dan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya lagi. Mohd Ali berkata mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.  Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.