Subang Jaya: Seorang pemuda maut apabila motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah kenderaan lain di Kilometer 34.9 Lebuhraya KESAS arah Subang Jaya ke Shah Alam, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kemalangan kira-kira jam 8.50 malam itu, mangsa yang berusia 19 tahun dan berasal dari Klang menunggang motosikal jenis Yamaha FZ150i secara bersendirian sebelum melanggar belakang sebuah kenderaan dipercayai kenderaan berat.

Ketika kemalangan, mangsa yang juga seorang pekerja swasta dikatakan dalam perjalanan pulang ke Klang dari rumah ayah saudaranya di Puchong.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari, berkata buat masa ini, siasatan belum dapat memastikan apakah punca sebenar kemalangan dan jenis kenderaan yang dilanggar oleh mangsa.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa terjatuh di atas lebuh raya dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

“Kenderaan yang dilanggar mangsa pula tidak berhenti sebaliknya terus beredar dari tempat kejadian.

“Kita masih meneruskan siasatan untuk mengetahui punca sebenar kemalangan, maka kita minta saksi yang melihat kejadian supaya tampil membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Saksi kejadian diminta berhubung dengan pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Qushari Ramli di talian 017-4339149 atau datang ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Balai Polis USJ 8 bagi menyalurkan maklumat.

Mohammad Azlin berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Difahamkan, sehingga kini polis masih belum menerima laporan daripada pemandu kenderaan kedua yang terbabit dalam kemalangan itu dipercayai sebuah treler – berita harian