GERIK: Polis meminta saksi kemalangan maut membabitkan sebuah treler dan sebuah kereta Proton Saga di KM59 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli untuk tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Gerik, Supt Ismail Che Isa, dalam satu kenyataan, berkata saksi perlu segera tampil di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Nasapira Mat Kar.

Dalam kejadian pada 4.30 petang Ahad lalu itu, tiga sekeluarga antara empat yang maut dalam nahas jalan raya membabitkan sebuah kereta dan lori dengan muatan balak.

Mereka ialah pemandu kereta jenis Proton Saga BLM, Mohd Nizam Suhaidin, 34; isterinya, Nurhafizah Ismail, 34; dan anak mereka, Mohd Afiq, 6, serta pemandu lori, Redzuan Abd Ghani, 59. – BERNAMA