LIVERPOOL: Bekas pertahanan Liverpool, Jamie Carragher percaya kesilapan Mohamed Salah yang sering kehilangan bola di kawasan penting mendatangkan masalah kepada Jurgen Klopp.

Selepas kempen pertama di Anfield yang mengagumkan, pemain berusia 26 tahun itu gagal memperagakan impak sama pada musim ini dan digantikan pada minit ke-66 pada aksi bertemu Chelsea, minggu lalu.

Carragher percaya kesilapan Salah yang menyebabkan Liverpool dibolosi ketika kemenangan 3-2 ke atas Paris Saint-Germain (PSG) dan hampir menyebabkan Eden Hazard meledak gol pada babak kedua di Stamford Bridge perlu diberi perhatian oleh Klopp.

“Dia tidak berada pada aksi terbaiknya, tetapi saya tidak fikir prestasinya sedang merosot. Banyak yang diperkatakan mengenai prestasi Salah ketika ini, namun dia hanya kekurangan gol pada musim ini.

“Saya harapkan Klopp memberitahu padanya – jika dia tidak meledak 40 gol musim ini, tidak bermakna dia mengharungi musim yang buruk.

“Ian Rush adalah penjaring terhebat sepanjang zaman buat Liverpool. Dia menjaringkan 47 gol semusim, namun dia tidak menjaringkan 47 gol pada musim seterusnya, dia hanya meledak 25 atau 30 gol semusim.

“Masalah Klopp ketika ini adalah bukannya Salah tidak beraksi dengan baik, tetapi dia agak cuai ketika berada di zon yang penting.

“Pada aksi bertemu PSG, dia kehilangan bola dan pasukan lawan menjaringkan gol – dia digantikan dua minit kemudian.

“Ini yang mengecewakan pengurus. Ia bukannya tidak menyempurnakan peluang tetapi meletakkan pasukan dalam bahaya apabila kehilangan bola.

“Sebagai pengurus, anda akan terus menurunkan dia di atas padang meskipun beraksi buruk kerana berkemungkinan dia dapat menjaringkan gol.

“Tetapi, jika dia membahayakan pasukan, lebih baik untuk dia dikeluarkan. Inilah masalah yang dihadapi Klopp ketika ini,” katanya. -Agensi