JOHOR BAHRU: Tidak puas hati dengan layanan kurang memuaskan pelayan restoran dipercayai menjadi punca pergaduhan di Taman Sentosa, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Shahurinain Jais, berkata hasil siasatan mendapati pergaduhan timbul ketika pelayan restoran itu menyajikan makanan di atas meja kepada pelanggannya.

“Timbul salah faham ketika itu apabila pelayan restoran dikatakan meletakkan makanan secara kasar.

 

BERITA TERDAHULU :17 Individu Ditahan Bantu Siasatan Kes Gaduh

“Kejadian juga berlaku ketika pelanggan restoran dalam keadaan mabuk,” katanya di sini, hari ini, bagi mengulas pergaduhan di restoran itu yang kemudian menjadi viral di media sosial.

Beliau berkata, berikutan kejadian jam 4.42 pagi itu, polis menahan seorang lelaki berusia 30 tahun kerana disyaki terbabit dalam pergaduhan itu.

“Suspek ditahan reman tiga hari bermula hari ini hingga Rabu ini untuk siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

“Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya sambil menambah, beberapa individu lain sedang dikesan bagi membantu siasatan.

Video berdurasi pendek yang menjadi viral itu menunjukkan tindakan lelaki membaling peralatan ketika pergaduhan dalam restoran berkenaan – berita harian