IPOH – Pereka Grafik, Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini selepas didapati bersalah menggunakan laman sosial Facebook untuk mengedarkan gambar aib pemimpin negara dua tahun lalu.

Hakim Norashima Khalid turut memerintahkan tertuduh berusia 40 tahun itu ditambah hukuman penjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda tersebut.

Norashima bagaimanapun membenarkan perlaksaaan hukuman tersebut ditangguh sementara menunggu rayuan kes berkenaan di Mahkamah Tinggi dan menaikkan jumlah ikat jamin terhadap tertuduh daripada RM5,000 kepada RM10,000.

Mohd Fahmi Reza sebelum ini dituduh secara sedar membuat dan memulakan penghantaran yang palsu sifatnya melalui akaun Facebook ‘Fahmi Reza’ miliknya dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu yang kemudiannya dibaca oleh orang lain pada 8 Februari 2016 kira-kira jam 2.40 petang di Seraya Sdn Bhd, Batu 3, Jalan Jelapang di sini.

Mohd Fahmi Reza didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta yang sama.

Sabit kesalahan, dia boleh didenda maksimum RM50,000 atau dipenjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.

Kes itu telah melalui perbicaraan penuh bermula 10 Jun 2016 dan tertuduh didapati bersalah selepas gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah dalam kes terbabit.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Sophian Zakaria sementara tertuduh diwakili peguam Syahredzan Johan.