KAMUNTING – Strategi Penasihat DAP, Datuk Ngeh Koo Ham memanggil sidang media bagi mendedahkan kononnya wujud salah laku Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir didorong perasaan gentar pembangkang terhadap sokongan kuat rakyat Perak kepada kempimpinan yang ada pada hari ini.

 

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Zahir Abdul Khalid Ngeh yang membuat kenyataan media itu atas tiket Paktan Harapan berkata wakil rakyat pembangkang sebenarnya ketandusan idea kerana tiada isu yang boleh dicetuskan untuk menyerang dan menfitnah Menteri Besar.

 

Katanya, justeru Ngeh dan rakan-rakan gemar membangkitkan isu-isu lama yang sudahpun dijawab kerajaan negeri ketika persidangan Dewan Undangan Negeri.

 

“Semalam Ngeh membuat sidang akhbar meminta Menteri Besar letak jawatan kerana kononnya terlibat dalam salah laku menerima bonus serta kereta daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

 

“Sebenarnya tohmahan itu sudah dijawab semasa sidang DUN November lepas.

 

“Seperti juga baru-baru ini ADUN Changkat Jering, Nizar Jamaluddin yang mengulangi isu anugerah Brandlaureate, kita nak tengok bukti resit dan invois, dari dulu kita minta tapi tiada sebarang jawapan.

 

 

 

“Ia menunjukkan mereka (pembangkang) asyik ulang isu yang sama, bukan ini saja tetapi banyak yang mereka kitar semula untuk memanipulasi pemikiran rakyat, “ujar Zahir.

 

“Ia menunjukkan mereka (pembangkang) asyik ulang isu yang sama, bukan ini saja tetapi banyak yang mereka kitar semula untuk memanipulasi pemikiran rakyat,” ujar Zahir.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di Pejabat Pusat Khidmat ADUN Kamunting, di sini hari ini.

 

Zahir yang juga ADUN Kamunting berkata taktik dan strategi Ngeh itu didorongi perasaan gentar beliau kepada pentadbiran di bawah Dr Zambry yang sentiasa mendekati rakyat menerusi pelbagai landasan.

 

“Kalau betul tuduhan itu saya minta bukti, tunjuk bukti..kalau setakat menipu di pentas-pentas ceramah semua orang boleh. Ia tidak lebih dari satu permainan dan ditayang semula disebabkan tiada isu baharu untuk mereka utarakan,” katanya.

 

Semalam Koo Ham pada sidang medianya di Ibu Pejabat DAP Perak mendakwa polis melanggar undang-undang kerana mencampuri urusannya sebagai wakil rakyat apabila mendakwa Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, memiliki sebuah kereta mewah.

 

Koo Ham mendakwa Zambry menerima bonus RM115,000 daripada PKNP dan pembelian kereta Audi Q7 pada harga RM620,996 untuknya.

 

Beliau dilaporkan berkata, perkara itu pernah disebut pada sidang media Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu dan berikutan dakwaan itu, beliau dan beberapa wakil rakyat seperti ADUN Tronoh, Yong Choo Kiong dan ADUN Buntong, A Sivasubramaniam, dipanggil polis untuk siasatan.

 

Koo Ham mendakwa, lapan kakitangan PKNP turut dipanggil untuk dirakam percakapan.

 

Dalam pada itu, Zahir menyelar Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming yang hanya tahu menghentam pentadbiran Kerajaan Negeri sedangkan banyak isu dan masalah setempat tidak diselesaikan.

 

“Tanya dia balik, dia jadi Ahli Parlimen Taiping lebih lima tahun dan berapa kali dia bawa isu untuk memajukan Taiping ini, untuk pelancongan, pendidikan, pengangkutan? Hanya beberapa kali dalam setahun.