BINTANG Liverpool, Mohamed Salah mendapat keistimewaan seperti Cristiano Ronaldo apabila seorang pembuat arca menghasilkan replika patung dirinya.

Pemain berusia 26 tahun itu memecahkan rekod jaringan gol Liga Perdana musim lalu kerana menyumbat 32 gol dalam kempen debutnya.

Salah turut memenangi PFA Player of the Award serta dicalonkan untuk Anugerah Pemain Lelaki Terbaik Fifa pada awal tahun ini.

Kejayaannya di atas padang menarik minat seorang pemahat arca dari Mesir, Mai Abdel Allah untuk menghasilkan patung penyerang The Reds itu.

Aksi Salah mendepakan tangannya. – Foto Getty Images

Pemahat arca tersebut memberitahu Egypt Independent bahawa dia mengukir patung itu dengan gaya Salah mendepakan tangannya kepada peminat.

Wanita tersebut melancarkan patungnya semasa Forum Pemuda Sedunia (WYF) di Sharm El Sheikh pada Ahad.

Bagaimanapun, ramai yang berpendapat terdapat perbezaan antara patung itu dan wajah sebenar Salah.

Sebelum ini, patung Ronaldo dikritik setelah dipamerkan di Lapangan Terbang Madeira dan memaksa pemahat arca itu, Emanuel Santos menghasilkan karya dengan rekaan yang lebih realistik. – Standard UK