IPOH– Program Sama-Sama Main yang berlangsung di Menara Jam Memorial JWW Birch, berhampiran Medan Selera Dato’ Sagor dimeriahkan dengan pelbagai permainan tradisional dan warisan yang menjadi tumpuan ramai.

Penganjuran program ini merupakan lanjutan dari Festival Sama Sama bersempena sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia tidak lama saja lagi.

Antara permainan warisan yang ditonjolkan dalam program ini seperti Tating Lawi,  Kabaddi, Sepak Raga, Konda Kondi, Sepak Tangkis, Baling Selipar, Dam Aji, Gasing, Tiang Licin, Boling Kelapa, Tiang Licin serta Tou Hu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing ketika berucap kepada pengunjung berkata, program yang berlangsung selama enam minggu ini akan menampilkan beberapa lokasi bersejarah dan menarik di Ipoh.

“Program ini julung kali diadakan di tempat bersejarah, saya harap ia menjadi landasan untuk menghimpunkan bakat seni dan budaya anak muda di Perak, selain menyemarakkan semangat bagi sambutan Hari Kemerdekaan.

“Jika aktiviti ini berjaya, saya janji akan bawa ia ke daerah lain pula. Hari ini juga kita berjaya mengumpul kira-kira 200 sukarelawan anak muda, mereka dengan rela hati bantu untuk jayakan program ini, tahniah pada yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian di program Sama-Sama Main di sini pada Sabtu malam, yang turut sama Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin.

Dalam pada itu, Tan dan Nizar turut menyantuni pengunjung yang terlibat dalam aktiviti permainan itu, di samping mencuba beberapa jenis permainan seperti Tiang Licin, Boling Kelapa dan Konda Kondi.

Bagi aktiviti seterusnya pada sabtu depan (25 Ogos), Sama Sama Ria akan diadakan di Ipoh Old Town, Jalan Dato’ Maharaja Lela yang bermula pada pukul 6 petang hingga 12 tengah malam.

Ia menampilkan persembahan kebudayaan dan seni mempertahankan diri, bahasa dan dialek serta seni henna atau lukisan muka.