MANJUNG – Lebih RM1.5 juta berjaya dikutip hasil bayaran saman trafik dengan tawaran 50 peratus sempena Karnival Hari Bertemu Pelanggan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, di sini.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, sebanyak 12 kaunter dibuka selama dua hari, berakhir semalam yang memberi kemudahan orang ramai melakukan semakan dan bayaran saman.

Menurutnya, pada hari pertama sahaja, kaunter yang dibuka dari jam 9 pagi hingga 4 petang itu menerima kutipan saman berjumlah RM947,490.

“Sementara hari kedua jumlah kutipan saman adalah RM614,500 menjadikan jumlah keseluruhan RM1,561,990 diperolehi daripada keseluruhan saman yang dibayar pesalah trafik.

“Sambutan menggalakkan ini diterima berikutan diskaun khas yang diberikan sehingga 50 peratus dalam tempoh dua hari terbabit,” katanya.

Beliau berkata, tawaran diskaun itu merangkumi semua jenis kesalahan trafik kecuali saman kemalangan, saman Op Selamat tahun 2018, saman berstatus mahkamah, saman berkaitan lori dan saman berstatus tiada kompaun (NC) – sinar harian