Kuala Langat: Curi air untuk membancuh simen. Itu tindakan sebuah kilang di Batu 9, Kebun Baru, Telok Panglima Garang, di sini, yang dipercayai menggunakan perkhidmatan air secara percuma sejak lebih dua bulan lalu.

Kegiatan itu terbongkar apabila lokasi yang dijadikan tempat membancuh simen berkenaan diserbu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), semalam.

Eksekutif Kanan Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna SPAN Loh Pit Mui berkata, pemeriksaan mendapati wujud sambungan secara terus dari paip utama milik Air Selangor tanpa melalui meter di lokasi itu.

“Ujian klorin turut mengesahkan ia air terawat yang diterima daripada sumber bekalan air milik Air Selangor.

“Semakan mendapati premis itu mempunyai akaun dan meter bekalan air yang sah, namun masih terdapat sambungan haram bagi menampung kegunaan kilang terbabit,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, semalam.

Loh berkata, nilai kerugian bagi tempoh 75 hari dianggarkan berjumlah RM54,738.11 atau bersamaan dengan 23,130 meter padu kehilangan air tidak berhasil (NRW).-metro