SHAH ALAM: Anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam, Adnan Othman sempat menyambut hari lahir ke-33 bersama keluarga pada 29 September lalu.

Menurut ibunya, Ronani Abdullah, 58, anak kedua dari tiga beradik itu bersama isteri pulang ke rumahnya di Port Dickson, Negeri Sembilan buat seketika dan tidak bermalam.

“Kali terakhir jumpa dengan arwah ketika sambut ulang tahun hari lahirnya dan ulang tahun perkahwinan saya dan suami.

“Arwah balik sekejap dengan isterinya, tidak tidur sana dan malam terus balik ke Shah Alam.

“Itulah kali terakhir makcik tengok arwah,” katanya yang ditemui bersama isteri arwah, Shamiza Salleh, 32, selepas solat jenazah di perkarangan BBP Shah Alam pagi tadi.

Ronani berkata, Adnan tidak menunjukkan sebarang petanda pada hari terakhir pertemuan mereka tempoh hari.

“Biasa sahaja, tidak ada tanda. Tak ada berhubung melalui telefon, itu kali terakhir jumpa.

“Dia sama sahaja, cuma dia cakap.. ‘Mak dah sakit lutut, tak payahlah masak-masak, buat rendang dan ketupat’,” katanya.

Adnan meninggalkan seorang isteri serta dua anak perempuan Nur Aisyah Damia Adnan, 4, dan Aliyah Maisarah, 2.

Adnan antara enam anggota PPDA yang lemas dalam operasi mencari dan menyelamat seorang remaja di lombong di Taman Putra Perdana, Puchong, malam tadi – berita harian