IPOH: Rakyat Perak berpeluang menikmati keseronokan di Movie Animation Park Studios (MAPS) di Meru secara percuma sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat negeri Perak tahun ini yang akan diadakan di taman tema itu.

Menteri Besar, YAB Ahmad Faizal Azumu berkata, sambutan itu akan diadakan pada hari raya pertama antara jam 3 hingga 6 petang.

Menurut beliau, pemilihan MAPS dibuat bagi memberi peluang kepada warga Perak yang tidak berpeluang untuk memasuki taman tema itu sebelum ini.

“Saya fikir apalah salahnya kalau rakyat dapat merasai apa yang telah ada, ramai di kalangan orang kita yang tak mampu dan ianya adalah tarikan, bukan sahaja kepada pelancong tempatan, tetapi juga pelancong luar.

“Taman tema akan beroperasi seperti biasa, orang ramai boleh datang dan menggunakan semua kemudahan secara percuma, di samping menikmati juadah yang disediakan dan persembahan daripada artis dan badan-badan keseniaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima sumbangan cek bernilai RM100,000 daripada sebuah syarikat swasta untuk penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2018, di pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau menjemput semua rakyat Perak untuk datang beramai-ramai dan sekiranya tempat parkir tidak mencukupi, tempat letak kenderaan tambahan akan dibuat di samping penyediaan bas pengantara.

YAB Ahmad Faizal menjangkakan antara 20,000 hingga 30,000 warga Perak akan datang ke majlis sambutan itu yang dijangka lebih murah kosnya, berbanding jika diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar seperti di tahun-tahun lalu.