IPOH – Kesatuan Pelajar-Pelajar Islam Perak (KPIP) mengadakan pelbagai acara sempena meraikan Sambutan Jubli Emas 50 Tahun penubuhannya.

Antara program yang diadakan ialah majlis bacaan Yassin dan solat hajat, karnival 50 tahun KPIP, dan majlis minum petang.

Majlis minum petang telah diadakan di Hotel Casuarina @ Meru yang dihadiri oleh bekas pemimpin kesatuan itu, yang ditubuhkan pada tahun 1965.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sempat singgah untuk sama-sama meraikan majlis tersebut yang beliau wakilkan kepada Pengerusi Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria.

Dalam ucapan ringkasnya, Dr Zambry berkata, KPIP sangat dekat dihatinya kerana melalui kesatuan itulah beliau belajar berpersatuan ketika menuntut di SMK Sitiawan.

Di majlis itu, beliau mengimbas kembali kenangan bagaimana KPIP melalui Institut Sofa membantunya dan pelajar-pelajar lain yang kurang cemerlang dalam pelajaran untuk mendapat peluang kedua.

Menurut Dr Zambry, KPIP juga telah melahirkan ramai tokoh kepimpinan, baik dalam bidang pendidikan mahupun politik.

“Bagaimanapun, jangan jadikan perbezaan fahaman politik sebagai batu penghalang untuk kita meneruskan matlamat awal penubuhan KPIP,” ujar beliau.

Di majlis itu, Dr Zambry turut melancarkan buku KPIP Gemilang sempena sambutan jubli emas kesatuan.

Drs Nizar yang mewakili Menteri Besar kemudiannya menyampaikan anugerah tokoh kepimpinan KPIP kepada bekas-bekas Presiden kesatuan yang ditubuhkan di Bagan Datoh itu.