IPOH: Lebih daripada 50,000 pengunjung membanjiri Movie Animation Park Studio (MAPS) pada sambutan 1 Syawal bagi memeriahkan rumah terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Perak petang tadi.

Malah, acara yang dijadualkan bermula pada pukul 3 hingga 6 petang itu telah dipanjangkan sehingga jam 8 malam berikutan  sambutan luar jangkaan pengunjung yang datang ke taman animasi berkenaan.

Tinjauan Astro Awani juga mendapati ramai daripada pengunjung yang mengambil kesempatan ke taman animasi itu turut datang seawal pukul 11 pagi bersama keluarga dan sahabat handai masing-masing.

Menteri Besar Perak, YAB MB Ahmad Faizal Azumu berkata beliau amat bersyukur malah berterima kasih dengan kehadiran semua ke jamuan Aidilfitri anjuran kerajaan negeri Perak tersebut walaupun dalam keadaan cuaca terik.

“Saya nampak semua keceriaan di kalangan orang ramai, tidak kurang menikmati juadah hari raya malah mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti dalam taman tema ini. Setelah berbincang, kita akan panjangkan (waktu rumah terbuka) sehingga jam 8 malam nanti, agar tiada yang berebut menaiki permainan di sini.

“Ini adalah perkara yang dapat kita pupuk di negeri Perak ini, agar rakyat dapat bersatu padu dan meraikan segala perayaan tanpa mengira bangsa dan agama,”katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas melaksanakan lawatan dan bertemu dengan pengunjung di Jamuan Hari Raya Kerajaan Negeri Perak di MAPS, Meru, dekat sini hari ini.

Sementara itu, Ahmad Faizal juga berkata pihaknya akan mencadangkan beberapa lokasi tarikan utama pelancongan serta taman rekreasi dihidupkan semula dan didedahkan kepada orang ramai melalui sambutan rumah terbuka seperti di MAPS.

“Kita bukan sahaja ada MAPS, kita ada bulatan Meru, Lost World Of Tambun, Bukit Merah Laketown Resort, banyak lagi tempat menarik dan antara taman yang paling saya suka adalah taman rekreasi Taman D.R. Seenivasangam, dapat kita jadikan lokasi program di masa akan datang.

“Saya percaya, (rumah terbuka) ianya akan dapat mengembalikan kegemilangan tempat-tempat tersebut,”ujarnya lagi.