Oleh:Nazialita Geynna Maharan

PANGKOR: Kepulangan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ke Pangkor bagi meraikan Syawal di kediaman bondanya disambut meriah oleh rakyat berbilang bangsa dari sekitar pulau tersebut.

Suasana kemeriahan Syawal begitu dirasai dengan kehadiran para tetamu yang menunggu di pekarangan kediaman ibu Dr Zambry di Kampung Masjid seawal pukul 7 pagi.

Dr Zambry berkata, sambutan Aidilfitri di tanah kelahirannya itu adalah satu acara yang sentiasa dinantikan saban tahun dan beliau amat gembira setiap kali kembali ke kampung halaman.

“Saya bersyukur ramai yang datang bertandang pada Raya kedua ini dan meraikannya bersama saya dan seisi keluarga.

“Saya harap semangat perpaduan dan nilai kesepakatan ini dapat dipupuk dan diterjemah dalam tanggungjawab sosial kita untuk memastikan Pangkor sentiasa terpelihara dengan baik.

“Jaga Pangkor baik-baik, kerana tiada siapa lagi yang boleh memeliharanya selain warganya sendiri, baik dari segi pembangunan, kebersihan dan kewajipan sosial,” pesan Dr Zambry kepada warga Pangkor ketika berucap pada petang Isnin.

Majlis sambutan Aidilfitri itu dilengkapkan dengan juadah tradisi Pangkor seperti Laksa Mi Pangkor, Laksa Pangkor, Cucur Udang Pangkor, kuih cakoi dan lemang.

Peniaga cucur udang, Fatimah Nayan, 42, berkata, saban tahun beliau pasti tidak akan melepaskan peluang untuk menyediakan juadah cucur udang seawal pukul enam pagi.

“Sebelum ini, saya akan menyediakan kueh teow goreng. Sejak tiga tahun lepas, kami bertukar kepada cucur udang yang dilihat lebih mendapat sambutan orang ramai,” ujarnya.

Setiap kali raya kedua menjelma, Fatimah berkata, beliau akan menyediakan lebih 1,500 kuih cucur udang disebabkan oleh permintaan yang tinggi.

Katanya, keunikan Pangkor adalah lokasi pulau yang agak kecil maka hubungan antara penduduk tanpa mengira latar belakang, adalah amat akrab.

“Saya rasa ini sangat bagus dan orang muda mesti ikut jadi nanti mereka boleh ajar anak-anak pula,” katanya ketika ditemui Suara Perak.

 

IMG-20170627-WA0031