IPOH: Sambutan Thaipusam yang diadakan bersempena memperingati kelahiran Dewa Murugan disambut dalam keadaanmeriah dan aman di sini dengan pelbagai acara keagamaan oleh penganut agama Hindu.

Tinjauan Suara Perak mendapati lebih 25,000 penganut Hindu membanjiri Kuil Arul Subramaniar di kawasan batu kapur Gunung Cheruh sejak awal pagi tadi.

Pelbagai aktiviti keagamaan Hindu telah diadakan termasuk perarakan patung Dewa Murugan dan ada juga yang membawa kavadi ke kuil berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Omar Mammah berkata, seramai 1,000 anggotanya telah ditugaskan untuk menjaga keselamatan awam serta lalu lintas sempena sambutan berkenaan.

“Sambutan dijalankan dalam keadaan aman, kita tidak menerima sebarang laporan atau aduan yang serius setakat ini.

“Terima kasih saya ucapkan kepada orang ramay yang memberi kerjasama yang cukup-cukup baik kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan saya ucapkan selamat menyambut Thaipusam kepada seluruh rakyat negeri ini,” katanya ketika ditemui pada sambutan itu sebentar tadi.

Tambah beliau, pihaknya juga menyediakan tiga balai polis bergerak di kuil berkenaan bagi memastikan sambutan itu dapat dijalankan secara lancar.

“Kita juga mengedarkan sekitar 500 goodies bag kepada orang ramai yang mempunyai risalah-risalah mengenai pencegahan jenayah dan anggota PDRM akan terus bertugas di sini sehingga sambutan ini selesai esok,” ujar beliau.

Beberapa jalan di bandaraya Ipoh telah mula ditutup secara berperingkat sejak semalam bagi memastikan sambutan itu dapat dilakukan secara lebih teratur.

Antara laluan terlibat adalah Jalan Raja Musa Aziz ke Bulatan Hospital dan Jalan Dato Ahmad Said, Jalan Datuk Onn Jaafar ke Jalan Foo Yet Kai dan Jalan Raja Musa Aziz, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab ke Jalan Dato Sagor dan Jalan Maharajalela.

Bagi mengelak kesesakan teruk, orang ramai juga boleh menggunakan perkhidmatan shuttle yang ditempatkan di Padang Ipoh dan Stadium Perak, bermula jam 7 pagi hingga 7 malam.

Sebanyak 25 lokasi di sekitar negeri ini menjadi tempat tumpuan menyambut perayaan Thaipusam yang mana Ipoh, Sungai Siput dan Manjung menjadi antara tempat terbesar.