KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menetapkan tempoh dua tahun kepada semua negeri untuk beralih daripada tapak pelupusan sampah termasuk tapak pelupusan sanitari kepada loji ‘Waste To Energy’ (WTE).

Menterinya, Zuraida Kamaruddin, berkata arahan itu sudah dikeluarkan bagi memastikan aktiviti pelupusan sampah mampu menjana pendapatan kepada negara.

Beliau berkata, sistem WTE lebih bersih, produktif dan menjimatkan berbanding sistem sedia ada yang menelan belanja sangat tinggi untuk diuruskan selain faktor tanah yang sepatutnya digunakan untuk tujuan yang lebih bermanfaat.

“KPKT memandang sampah sebagai ‘aset’ kepada kementerian dalam menjana pendapatan kepada kerajaan dan negara.

“Oleh itu KPKT sudah memberi arahan kepada negeri supaya dalam masa dua tahun, negeri akan beralih kepada sistem WTE secara berperingkat.

“Ketika ini KPKT sedang meneliti dan menyemak tapak pelupusan sedia ada sama ada bersesuaian untuk diubah kepada WTE.

“Semakan sedang dilakukan dan Insya-Allah akan kita berikan panduan kepada setiap negeri termasuk berapa loji WTE yang patut dibina untuk mengendalikan sampah dan sisa pepejal di negeri berkenaan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Steven Shiau Yoon (PH-Tebrau) yang ingin mengetahui hala tuju KPKT berkenaan sistem pelupusan sampah di Malaysia.

Menjawab soalan tambahan Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai perancangan kerajaan dalam menyelaras kegiatan pelupusan sampah di semua negeri, Zuraida berkata mengikut Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), KPKT hanya bertanggungjawab dalam pengurusan pungutan sampah di tujuh negeri.

Bagaimanapun, Zuraida berkata, KPKT masih bertanggungjawab memberi nasihat dan rundingan kepada negeri lain yang tidak tertakluk mengikut akta berkenaan.

Katanya, KPKT juga tidak akan meminggirkan negeri pembangkang dalam membantu negeri berkenaan mengurus pelupusan sisa pepejal – Berita harian